Ekoran pandemik COVID19 yang melanda dunia sejak Februari lalu, hampir kesemua aktiviti dan progam sukan yang telah diatur perlu di tunda, disusun semula atau terpaksa dibatalkan sama sekali oleh pihak penganjur atau badan sukan yang mengendalinya. Walaupun ramai pakar perubatan menjangkakan keadaan mungkin mampu untuk kembali seperti sediakala mulai Jun atau Julai tahun ini, ramai yang tidak mahu mengambil risiko tersebut. Tambahan pula, persediaan untuk menganjurkan sesuatu kejohanan besar memerlukan tempoh persiapan yang memakan masa sekurang-kurangnya sebulan atau dua sebelum ianya diadakan.
Mengambil pendekatan yang sedemikian, tidaklah mengejutkan apabila badan catur dunia FIDE telah mengambil keputusan untuk menunda tarikh Olimpiad Berpasukan Dunia ke tahun hadapan walaupun secara amnya sukan tersebut hanya dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos iaitu selepas tarikh dimana pandemik COVID19 dijangkakan akan berakhir. Antara kejohanan besar lainnya yang ditangguh oleh FIDE termasuklah Kejohanan Candidates yang bermula bulan Februari lalu di Moscow yang dihentikan dipertengahan jalan ekoran COVID19 yang semakin menular ketika itu serta tekanan dari pelbagai pihak untuk ianya ditangguhkan. Bagi komuniti catur di Malaysia pula, pelbagai kejohanan dan pertandingan catur telah dibatalkan termasuklah beberapa Kejohanan bertaraf FIDE yang telah dirancang oleh beberapa penganjur tanahair.
Dengan Perintah Kawalan Pergerakkan (MCO) di kuatkuasakan, dan penjarakkan sosial di perketatkan, bukan acara catur atau acara sukan sahaja yang terkena bahananya. Malahan semua aktiviti perkumpulan seperti mesyuarat dan seminar, program keagamaan dimesjid , gereja atau kuil, aktiviti-aktiviti senaman serta program kekeluargaan seperti majlis perkahwinan, kenduri kendara dan sebagainya, terpaksa dibatalkan buat sementara waktu. Bagi sukan atau aktiviti yang memerlukan kehadiran dan penglibatan seseorang secara fizikal, memang tiada cara lain melainkan dilupakan sahaja perancangan tersebut. Bagi mesyuarat atau sessi perbincangan, ianya masih boleh diteruskan menerusi perantara internet seperti zoom atau skype, atau setidaknya melalui persidangan telefon atau teleconference. Sesi pembelajaran juga masih boleh diteruskan dengan menggunakan kemudahan internet bagi mendapatkan pelbagai bahan rujukan untuk di muat turun – samada secara percuma atau berbayar. Secara langsung, pelbagai aktiviti kini mula memaksimakan keupayaan internet untuk kembali meneruskan program-program yang telah dirancang – sebaik dan senormal yang mungkin.
Sistem pesanan menerusi internet juga kini menjadi norma yang baru untuk ramai orang, dan kaedah penghantaran menggunakan Grab atau FoodPanda, adalah model perniaagaan yang dipilih ramai. Dan semua ini – secara langsung menjadikan internet sebagai keperluan utama yang diperlukan oleh hampir semua orang untuk meneruskan gaya hidup sehampir normal yang mungkin didalam era pandemik COVID19.
Bagaimana pula catur dan internet? Adakah ramai pemain, penganjur dan entiti catur telah (atau akan) memanafaatkan catur menggunakan internet? Adakah anda – sebagai seorang yang berminat dengan catur, telah membuat perpindahan daripada seorang pemain “atas-papan” kepada seorang pemain “atas-talian”? Adakah catur “atas-talian” akan menjadi norma baru bagaimana permainan dan kejohanan catur dipertandingkan dimasa-masa akan datang? Bagaimanakan atau adakah pemain atau penganjur, atau persatuan, atau pegawai seperti Arbiter, atau pelatih dan pengajar catur, akan mendapat keuntungan daripada perpindahan ini? Atau adakah ianya akan lebih merugikan atau adakah catur akan kembali kepada cara permainan yang menemukan lawan yang bertentangan diatas meja?
Apa pendapat anda?
Pendapat saya – di coretan yang akan datang.